PERMASALAHAN SOLAT JENAZAH
MASALAH: Adakah harus solat jenazah diulang beberapa kali oleh jemaah yang tidak berkesempatan mengikuti solat bersama jemaah sebelumnya? Apabila kumpulan kedua mengerjakan solat ke atas jenazah yang sama, adakah pahalanya dikira sebagai pahala sunat atau pahala fardu?
Sunat berulang-ulang solat jenazah walaupun di kuburnya bagi mereka yang belum lagi mengerjakan solat jenazahnya. Bagi mereka yang sudah mengerjakan solat jenazah, tidak dituntut mengulanginya.
Bagi kumpulan kedua yang mengerjakan solat jenazah serta kumpulan berikutnya, mereka diberi sebagai pahala fardu jika mereka belum mengerjakan solat jenazah itu.
MASALAH: Adakah dibenarkan melengahkan solat jenazah semata-mata menunggu kedatangan orang ramai untuk mencukupkan bilangan 40 orang atau 100 orang?
Ada pendapat mengatakan, memadai walaupun hanya 40 orang saja atau tidak boleh menunggu lama kecuali menanti kehadiran walinya?
Perkara itu ada perselisihan oleh ulama. Walau bagaimanapun, mengikut pendapat Syeikh Ramli, tidak perlu ditunggu lama-lama kecuali menanti kehadiran walinya.
Jika walinya sudah hadir walaupun seorang saja atau bersama dua orang lain, maka sudah memadai dan hendaklah disegerakan solat jenazah itu.
Orang yang datang lewat, mereka boleh solat jenazah di atas kubur (selepas dikebumikan) kecuali jika perbuatan seperti itu tidak pernah dilakukan, maka disunatkan menunggu kedatangan orang ramai tetapi janganlah terlalu lama.
Mengikut pendapat Syeikh Zarkasyi yang dimaksudkan dengan sunat menunggu itu ialah menunggu kehadiran walinya dan 40 atau 100 jemaah sekiranya diyakini mereka akan hadir dalam waktu terdekat.
Comments
Post a Comment